13hb Ogos 2011, aku datang melawat opah dengan alam, dua adik ku, Siti Mariam dan Siti Zulaikha.
Aku melihat opah merenung jauh sambil berbaring.
Tak tahu apa yang opah fikirkan.
Bila mendengar suara kami, opah terus menjadi ceria dan tersenyum melihat kami datang.
Sebelum kami pergi ke hospital, kami pergi membeli baju raya adik-adik ku.
Tema warna tahun ini, warna pink dan sama dengan warna baju hospital yang opah pakai.
Mariam dan Zulaikha masing-masing mencuba baju yang dibeli dan menunjuk-nunjuk seperti
gaya model di depan opah dan umi.
Opah melihat baju diorang, opah kata cantik baju raya.. siap ada manik-manik lagi nih.
Aku lihat opah gembira betul.
Selepas itu, datang pula Makcik Azlina dan adik opah yang lagi satu, Opah Norlin.
Mereka sampai dekat waktu berbuka puasa.
Aku punya idea untuk berbuka di hospital dan meminta izin kepada jururawat untuk membawa opah ke bawah untuk berbuka bersama-sama dengan kami.
Tetapi jururawat tak mengizikan tetapi membenarkan kami berbuka di pantri.
Aku, umi, Mariam dan Zulaikha pun turun
untuk membeli juadah untuk kami sama-sama berbuka supaya opah pun turut serta dan mengembirakan hati opah.
Aku ambil kerusi roda dan menyorongnya kepada opah yang duduk di birai katil. Opah pada mulanya tak mahu sebab opah malu dan rela berjalan sendiri. Tetapi setelah aku memujuknya supaya opah tidak jatuh semasa berjalan, opah perlahan-lahan turun dari katil dan duduk di kerusi roda. Aku menyorong opah ke pantri dan sama-sama berbuka di sana. Aku lihat opah gembira bila melihat kami berbuka puasa dan opah juga makan walaupun sedikit. Tetapi aku masih dapat melihat air muka opah yang muram iaitu kerisauan hati opah untuk menghadapi di hari pembedahan itu nanti.
Selepas berbuka, aku pun menyorong kembali ke katil opah dan mengangkat opah ke katil. Merah muka opah bila aku mengangkat opah ke katil. Aku perbetulkan ikatan kain opah yang agak terlondeh. Aku ternampak perut opah yang memboyot. Tiba-tiba hati aku menjadi sedih dengan keadaan opah. Tapi tidak aku tunjukkan kesedihan aku depan opah. Nanti opah akan menjadi lebih takut dan risau.
Selepas setengah jam berkumpul di katil opah, sampai masa untuk pulang. Kami semua bersalaman dengan opah. Opah sekali lagi memohon maaf kepada kami semua atas kesalahan dan dosa opah. Aku pun tiba-tiba berkata’ Opah, Ena pun nak minta maaf ngan opah ye’ opah menjawab ‘ Iye lah, opah dah lama maafkan ena’ sebak hati aku dan terasa berat untuk meninggalkan opah. Aku cepat-cepat berkata ‘ Nanti hari Rabu, Ena datang ye jumpa opah’ opah Cuma mengangguk sambil tersenyum. Terpancar satu harapan baginya untuk sembuh dari penyakit yang opah alami. Yang paling aku terharu bila Zulaikha bersalam dan memeluk opah sambil berkata’ Opah, nanti kita raya sama-sama yer’ Opah Cuma mengiyakan saja. Aku pada masa itu, berdoa agar opah selamat menjalani pembedahan dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Sayu hati ku meninggalkan opah di hospital. Mujur lah umi menjaga opah. Tidak lah opah keseorangan di hospital.

Opah, Alam dan Opah Norlin