Wednesday, August 24, 2011

Memoir Opah - Part 4

16hb Ogos, hari opah menjalani pembedahan. Opah dijadualkan masuk ke bilik bedah pada pukul pagi. Aku tidak dapat pergi ke hospital kerana aku terpaksa bekerja dan berharap aku dapat berjumpa opah selepas pembedahan. Alam, pakcik Ayi, Umi dan Opah Norzi datang awal untuk menghantar opah masuk ke bilik bedah. Mereka memberi semangat kepada opah supaya opah jangan risau dan banyak-banyak berdoa agar semuanya selamat. Opah pada pagi itu, hanya mendiamkan diri dan tersenyum. Umi berkata, opah nampak begitu risau dan takut tapi opah dayakan dirinya tersenyum.

Pembedahan itu mengambil masa 9 jam dan ianya amat lama bagi ‘major operation’. Aku di pejabat tidak senang duduk dan tidak dapat fokus dengan kerja ku. Aku hubungi umi berkali-kali menanyakan samada opah sudah keluar dari bilik pembedahan ke atau tidak. Aku lebih banyak mendiamkan diri dan berdoa di hati ku supaya opah selamat menjalani pembedahan.

Aku mengambil keputusan untuk pergi terus ke hospital selepas waktu bekerja. Aku sememangnya tidak senang duduk. Aku sampai ke hospital, aku lihat umi menunggu di ruang legar bilik pembedahan. Pada pukul 6.30, aku mengajak umi turun untuk membeli juadah berbuka puasa. Semasa kami sedang membeli makanan, Doktor Yong menelefon umi yang mereka telah selesai menjalani pembedahan dan meminta kami datang berjumpa dengan beliau. Tanpa berlengah lagi, kami bergegas balik ke hospital dan berjumpa dengan doktor.

Doktor Yong keluar dengan menyorong sesuatu bersama 2 orang lagi doktor. Doktor Yong memperkenalkan doktor yang bersama-sama menjalani pembedahan tersebut. Doktor Yong menerangkan apa yang terjadi semasa pembedahan dijalankan. Ketumbuhan tersebut berjaya dikeluarkan tetapi ada beberapa masalah yang berlaku iaitu saluran darah besar telah mengalami pendarahan yang banyak dan tidak dapat menyambung kembali. Para doktor mengambil inisiatif untuk mengikat saluran darah besar tersebut supaya tidak lagi mengalami pendarahan yang lebih banyak. Sambungan saluran darah tersebut sudah pun menjadi keras kerana ketumbuhan tersebut melekat agak lama. Kemungkinan besar opah tidak dapat berjalan dan kaki akan menjadi gelap kerana kekurangan bekalan darah di kaki. Tetapi doktor juga berkata, diharap saluran darah kecil dapat membantu untuk menyalurkan darah ke kaki.

Ketumbuhan tersebut tumbuh dari otot dibelakang tulang belakang di sebelah kiri. Ia bukannya dari saluran peranakan yang diberitahu sebelum ini. Saiz ketumbuhan itu terlalu besar sehingga menolak usus ke sebelah kanan dan menghimpit kantung perut. Saluran usus juga terpaksa dikeluarkan iaitu saluran najis terpaksa dikeluarkan kerana banyak organ yang luka akibat ketumbuhan tersebut. Buah pinggang sebelah kiri juga tidak dapat diselamatkan kerana buah pinggang tersebut telah masuk ke dalam ketumbuhan tersebut. Hanya ada buah pinggang di sebelah kanan sahaja yang ada, itu pun masih tidak tahu lagi sama ianya masih berfungsi dengan baik atau tidak.

Selepas itu, Doktor Yong menunjukkan spesimen ketumbuhan yang berjaya dikeluarkan kepada kami. Aku dan umi amat terkejut dengan saiz spesimen tersebut sebab ianya terlalu besar. Kalau sekali imbas, ianya seperti daging limpa yang besar. Doktor mengatakan, ketumbuhan tersebut sudah pun di timbang dan ianya seberat 8.8 kg atau 9 kg. Masyaallah, besarnya.. Itu lah yang membuatkan opah menderita selama ini. Kami berasa amat bersyukur kerana ketumbuhan dapat dikeluarkan. Paling menggembirakan, opah stabil tetapi perlu di masukkan ke dalam wad ICU kerana opah perlu dipantau oleh doktor setiap masa. Doktor Yong mengarahkan kami menunggu sebentar kerana opah akan di pindahkan di ICU.

Selepas 15 minit, kami di panggil oleh Doktor Yong untuk masuk ke ICU. Kami berjalan masuk ke wad ICU dan melihat opah masih lagi tidak sedarkan diri. Kami menunggu doktor di sebelah katil opah. Aku sempat melihat nadi opah di skrin. Alhamdulilah, opah stabil. Aku lihat dada opah bernafas dengan tenang.

Tidak lama kemudian, aku melihat, pergerakan nadi opah semakin perlahan dari 105 jatuh ke 75. Aku berasa hairan kerana tiba-tiba jururawat ICU datang berjumpa dengan aku yang opah sekarang di dalam kritikal kerana detakan jantung opah sudah semakin perlahan. Aku betul-betul terkejut dan memandang umi. Jururawat meminta aku untuk selawat di telinga opah. Tetapi aku terpaku tak percaya apa yang berlaku. Aku sempat melihat skrin detakan jantung opah, semakin jatuh dan sehinggakan mengeluarkan amaran merah. Aku menjadi panik. Umi kelihatan terkejut dan bimbang jikalau terjadi apa-apa kepada opah. Ramai doktor masuk ke ruangan opah dan mula menutup langsir. Doktor Yong mengatakan opah sudah tahap kritikal dan meminta kami menelefon ahli keluarga. Kami keluar dari bilik ICU dan mula menghubungi adikku Siti Rohana, Zulaikha dan alam. Umi pula menghubungi Opah norzi dan saudara yang lain. Aku mula menangis dan berharap opah akan kembali stabil. Doktor Yong datang menemui kami yang detakan jantung opah masih lemah dan mereka sedaya upaya untuk menstabilkan opah. Doktor Yong juga berkata, beliau akan ‘update’ kepada kami keadaan opah dari semasa ke semasa. Kali keempat doktor datang berjumpa dengan kami, jantung opah sudah berhenti berdenyut. Ya Allah…. Aku terus menangis dan menangis. Sekeras dan setabah hati umi, menangis juga umi. Kami seakan tidak percaya yang opah telah ‘pergi’ meninggalkan kami semua. Doktor Yong minta kami masuk untuk melihat opah. Sebelum itu, kami menghubungi keluarga dan saudara atas berita pemergian opah.

No comments:

Post a Comment